Keajaiban-Keajaiban Dunia Ketika Rasulullah S.A.W Dilahirkan
Kelahiran
Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramah
sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta. Kelahiran baginda menjadi
seribu satu tanda bahwa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan
risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam. Baginda
mempunyai kelebihan luar biasa, bukan saja dilihat dalam konteks sebelum
kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan.
Peristiwa
luar biasa ini disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu kejadian luar biasa
bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada seorang nabi Sehubungan
itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di
sebalik kelahiran baginda. Ini karena masih banyak lagi rahasia yang belum
terungkap. Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w.
Pertama,
semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bundanya, Aminah, beliau
tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil. Kehamilannya
disadari melalui berita dari malaikat yang datang kepadanya ketika beliau
sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang
Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia. Selain itu kehamilannya ditandai
dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke
wajahnya.
Kedua,
ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat
supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit
dan bumi. Tanah-tanah disekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur,
pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga hewan-hewan di darat dan
di laut sibuk membincangkannya.
Ketiga,
peperangan tentara bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang
menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentara bergajah dengan menunggang
seekor gajah besar bernama Mahmudi. Apabila mereka hampir sampai ke tempat
tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah. Namun
demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka
sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran.
Peristiwa
ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.
Keempat,
Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit
dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang
terapung di angkasa. Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia
berkata "Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi.
Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia
Ahmad."
Semasa
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini
ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi derajatnya daripada
Nabi Isa dan Musa. Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa
akan datang seorang nabi pada akhir zaman. Semasa baginda dilahirkan, bundanya
menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut
menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti
anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat
dilihat. Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi
seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal
yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda
dilahirkan. Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua
tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Kemudian
bundanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar
sebuah seruan "Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya
mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik".
Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah.
Setengah
riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit
sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya
daripada semua makhluk. Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda,
berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerusakan dan kemusnahan.
Menurut
riwayat daripada Abdul Mutalib, "Ketika aku sedang berada di Kaabah,
tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku
mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, "telah lahir nabi pilihan
yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala- berhala
ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui."
Selain
itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan
menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh.
Keadaan ini merupakan di antara tanda - tanda keruntuhan kerajaan tersebut.
Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun
telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang
Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.
Dalam
waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci
tenggelam ke dalam tanah. Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap
sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah
tamat.
Berdasarkan
peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai
keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah, penutup
segala nabi. Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita
kemuliaan baginda di sisi Allah, sekaligus sebagai bukti kerasulannya.
Di
samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab
terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.